Hirunisa Sandari menerima faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berikutan kematian suaminya Allahyarham Abu Bakar Mohammad.

PONTIAN – Kesedaran dua orang nelayan untuk melaksanakan tanggungjawab mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ternyata mempunyai hikmah tersendiri apabila malang menimpa mereka tanpa diduga.

Kedua-dua sahabat, Allahyarham Abu Bakar Mohammad dan Allahyarham Khalid Mohamed ditemukan mati lemas selepas dilaporkan hilang semasa turun ke laut mencari rezeki di perairan Ayer Baloi, Johor pada 2 Jun lalu.

Tragedi menyayat hati itu amat memberi kesan kepada waris masing-masing lantaran mereka hilang tempat bergantung dan terpaksa mengharungi keperitan hidup tanya insan tersayang.

Prihatin dengan nasib malang yang menimpa keluarga nelayan berkenaan, PERKESO berkesempatan menziarahi dan menyantuni waris Allahyarham Abu Bakar dan Khalid untuk menyampaikan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Allahyarham Abu Bakar merupakan pencarum PERKESO di bawah Pelan 1 SKSPS dengan caruman sebanyak RM157.20 untuk setahun sejak 15 Jun 2021 manakala sahabatnya Allahyarham Khalid juga mencarum dengan Pelan 1 SKSPS sejak 15 Oktober tahun lalu.

Caruman masing-masing dibayar menerusi potongan Elaun Sara Hidup Nelayan, hasil kolaborasi strategik antara PERKESO dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Abu Bakar meninggalkan seorang balu dan lima orang anak berusia 21 tahun ke atas. Oleh sebab itu, balunya, Hirunisa Sandari layak menerima bantuan iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 untuk sekali bayar dan Faedah Orang Tangunggan (FOT) sebanyak RM567 sebulan sepanjang hayatnya.

Bagi Khalid pula, memandangkan kesemua anaknya berusia lebih 21 tahun dan isteri serta ibu bapanya telah meninggal dunia, waris arwah yang diwakili oleh anak sulungnya, Jama’ah Khalid telah dibantu dengan FPM sebanyak RM2,000.

ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian bersama Pengarah LKIM Johor, Intan Suhaila Othman dan Timbalan Pengarah PERKESO Johor, Jamalluddin Mohammad mengunjungi kedua-dua waris nelayan berkenaan di kediaman mereka bagi menyerahkan sendiri faedah PERKESO kepada waris masing-masing, pada Ahad.

Hadir sama Siti Hazar Dommin, Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi LKIM Johor; Nordin Mohd Kanchil, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Pontian; Hairul Akbar Saat, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Pontian; dan Dawik Mohamed Ali, Ketua myKomuniti Perikanan (myKP) Ayer Baloi.

Sehingga 9 Jun 2022, seramai 387,884 individu yang bekerja sendiri telah mencarum dengan SKSPS PERKESO di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 34,266 orang atau hampir 9 peratus pencarum adalah dari negeri Johor. Sementara itu, seramai 33,023 nelayan merupakan pencarum aktif PERKESO, merangkumi 3,196 orang dari negeri Johor.

Bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2022, kerajaan melaksanakan inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah Bajet 2022 untuk memberi perlindungan menerusi caruman SKSPS kepada lapan kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk golongan nelayan daripada bencana pekerjaan sendiri.

Bantuan dalam bentuk pembiayaan padanan caruman di bawah Pelan Caruman 2 SKSPS ini akan dibiayai oleh Kerajaan sebanyak 80 peratus (RM186.20), manakala baki 20 peratus (RM46.60) perlu dibayar oleh OBS.

Kemalangan yang tidak diduga seperti yang menimpa dua nelayan ini menekankan perlunya rakyat tempatan khususnya mereka yang bekerja sendiri dilindungi dengan skim keselamatan sosial bagi membolehkan mereka dan waris dapat dibela dalam situasi malang tidak berbau.

Justeru, PERKESO menyeru semua individu yang bekerja sendiri agar segera mencarum dengan SKSPS, demi perlindungan buat diri sendiri dan ahli keluarga sekiranya ditimpa sebarang musibah sewaktu melaksanakan aktiviti pekerjaan sendiri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast