Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 14 JUN 2022.

PUTRAJAYA – Mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyesorkan agar negara kembali ke bidang pertanian bagi menjamin bekalan makanan negara.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pengimportan bahan-bahan seperti makanan termakan.

“Bukan sahaja (kembali) jadi negara pertanian, kita (MPN) bincang antara lain jaminan keselamatan makanan supaya Malaysia tidak berdepan dengan situasi cemas atau sebab kita tak sediakan bekalan makanan yang kita perlukan untuk masa sekarang.

“Tadi saya umumkan ada kenaikkan dalam ranking food security tapi masih jauh sasaran untuk top 10, mestilah ada dari segi dasar tapi langkah tertentu Malaysia kena ambil untuk teroka secara agresif gunakan teknologi hasilkan bahan keperluan makanan negara dan tak bergantung dengan bahan import,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN), di Kementerian Kewangan, hari ini.

Jelas Muhyiddin, cadangan itu wajar difikirkan kerajaan bagi memastikan negara tidak bergantung sepenuhnya dengan import bahan makanan ternakan dari luar negara.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata, kerajaan masih bergantung kepada import sayur-sayuran dan kelapa dari luar negara.

“Saya diberitahu oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan hampir 500 juta biji kelapa import sedangkan kita ada tanaman kelapa yang lama kita bangunkan semula. Industri dimajukan semula kerana kelapa semakin meningkat.

“Sektor ternakan, pengeluaran susu boleh kita tambah, malah bekalan ayam kita sudah keluarkan 100 hingga 200 peratus,” jelas Muhyiddin.

Tambah Muhyiddin, sekiranya cadangan itu dilaksanakan secara agresif dan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan, MPN percaya sektor industri makanan negara akan berada dalam tahap kesiapsagaan yang optimum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast