KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal terlibat dalam ekosistem industri ternakan ayam menerusi penanaman jagung bijirin berskala besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ini bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

Dalam masa yang sama jelas beliau, langkah ini akan dapat menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kedua-dua pihak akan terlibat dalam industri makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

Ismail berkata, Nafas menyasarkan menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Aangkasa pula sebanyak 30 juta ekor setahun.

“Nafas telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung biji.

“Angkasa telah mengenalpasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan. Setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan
jagung bijirin dan menampung sebanyak 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengadakan pertemuan denganAhli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa.

Pertemuan berkenaan katanya, bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

Ismail yakin usaha kedua-dua pihak itu berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan.

“Ini kerana Nafas mempunyai seramai satu juta ahli, manakala tujuh juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi,” tambah Ismail. – MalaysiaGazette