Takiyuddin Hassan

PUTRAJAYA – Pas kekal dengan pendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak wajar diadakan dalam masa terdekat.

Ini kerana kerajaan yang terbentuk ketika ini mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan ekonomi dan kesihatan selepas pasca Covid-19, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Baginya, PRU bukanlah keutamaan pada masa sekarang kerana kerajaan yang ada sudah stabil serta mendapat sokongan parti-parti termasuk pembangkang menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani sebelum ini.

“Tak ada sebab perlunya PRU tergesa-gesa, bukan isu takut kalah, lawan tetap lawan. Kalah menang itu permainan sebab dalam PRU tak ada seri. Main bola ada seri…itu terpulang pada rakyat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai saranan banyak pihak sejak akhir-akhir ini termasuk UMNO apabila menggesa agar PRU-15 diadakan dalam tempoh segera.

Takiyuddin berkata, di dalam Perlembagaan yang boleh membubarkan Parlimen adalah Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Artikel 54.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam melaksanakan fungsi Perlembangaan Agong mestilah mengikut nasihat Kabinet dan bukan daripada mana-mana individu mahu pun Perdana Menteri berdasarkan Artikel 40.

Ditanya mengenai situasi hangat antara Pas dan UMNO ketika ini, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menafikan berlaku percakaran antara kedua-dua parti.

Sebaliknya, beliau memberitahu, apa yang berlaku hanya satu cuitan dalam politik sahaja.

“Tak ada percakaran, cuit politik sahaja. Kalau percakaran pecah habis dah. UMNO dalam kerajaan Persekutuan, Pas dalam kerajaan Persekutuan, Bersatu, GPS dalam kerajaan Persekutuan, jadi apa yang percakaran?

“Kami bersatu dalam kerajaan Persekutuan. Dulu PM (Perdana Menteri) dari Bersatu, sekarang BN. Secara positif saya lihat tak ada apa-apa masalah dalam kerajaan kita…kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri,” ujarnya.

Sementara itu ditanya mengenai kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO bahawa serangan Pas terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disebabkan parti itu takut hilang kuasa, Takiyuddin menjelaskan, ia bukanlah satu perkara yang bersifat serangan.

“Kalau tak mahu dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Dalam politik itu biasa, pasca politik ini paling minima, itu pun sebenarnya tak lambangkan stand parti, itu individual.

“Mungkin ada soalan-soalan tertentu ditanya kepada dia dan itu respon dia, bukan Pas punya stand dalam konteks.

“Kalau Pas punya stand, dari Presiden Pas atau Setiausaha Agung Pas. Itu respon spontan oleh individu dari Pas,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Macam mana nak pulihkan ekonomi kalau yg korang lantik tu menteri2 yg gagal? Terutama sekali Pengerusi Majlis Pemulihan Negara….tu PM GAGAL yg korang kitar balik..nak pulih macam mana???

Comments are closed.