PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang peniaga yang mengalami kemurungan berikutan masalah perniagaan yang merosot dilaporkan hilang pagi tadi dikhuatiri terjun dari Jambatan Tanah putih di Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang berusia 37 tahun itu dilaporkan keluar dari rumah seawal jam 6 pagi dengan menaiki kereta jenis Honda tanpa pengetahuan keluarga.

“Polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa mangsa berusia 62 tahun kira-kira pukul 9.44 pagi hari ini.

“Pengadu bersama ahli keluarga lain kemudian mencari mangsa di sekitar bandar Kuantan dan menemui kereta yang dibawa mangsa ditinggalkan di atas jambatan Tanah Putih dalam keadaan berkunci,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga di sekitar kawasan tersebut namun gagal menemuinya lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Ini berikutan bapa mangsa bimbang dengan keselamatan anaknya malah mangsa dikatakan pernah mengugut mahu membunuh diri akibat kemurungan.

Difahamkan mangsa telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak berusia enam dan satu tahun manakala isterinya bekerja di Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu.

“Hasil soal siasat keluarga mendapati mangsa mengalami kemurungan sejak dua bulan lalu kerana mengalami kerugian dalam perniagaan bengkel kenderaan dan sering menyalahkan dirinya kerana gagal menjalankan perniagaan dengan baik,” ujarnya.

Suslan itu sepasukan anggota polis dari IPD Kuantan telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kereta mangsa berada di lokasi berkenaan dalam keadaan berkunci manakala kunci kereta pula ditemui di tepi jalan berhampiran.

Wan Mohd Zahari berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta mangsa tidak menemui barang peribadi milik mangsa.

SEmentara itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pukul 1 tengahari membabitkan lebih 22 anggota daripada pelbagai agensi selain bantuan penduduk kampung. – MalaysiaGazette