Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar dengan sebahagian ahli parlimen belia.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sumbangan yang boleh diberikan oleh kerajaan kepada pasukan tersebut.

“Saya akan bincang dengan Menteri Belia dan Sukan dan FAM, mungkin keraian, apa-apa sumbangan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau yang ternyata gembira dengan kejayaan tersebut berkata, semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan Harimau Malaya begitu membanggakan.

Ismail Sabri berharap, skuad kendalian Kim Pan Gon akan meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

“Cuma ini ujian pertama kita telah lepasi dan ujian yang lebih besar sewaktu perlawanan di Sukan Asia nanti itu lebih penting untuk kita sekurang-kurangnya mendapat tempat yang lebih baik sewaktu pertandingan itu,

“Dan perlu ingat sewaktu pertandingan nanti tidak ada penyokong penyokong tegar seperti yang berada di stadium semalam.

“Jadi saya harap semangat juang terus ditunjukkan supaya dapat mengembalikan nama Malaysia di peringkat antarabangsa terutama di Asia,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri turut kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh penonton dan penyokong Harimau Malaya di stadium dan di rumah.

Walaupun kalah kepada pasukan Bahrin sebelum itu, penyokong Harimau Malaya tetap hadir ketika pasukan Malaysia bertemu Bangladesh malam tadi.

“Jadi semangat juang yang ditunjukkan semalam sangat membangakan saya. Begitu juga dengan semangat juang penonton dan penyokong yang tidak bergerak daripada mula sehingga tamat perlawaanan masih berada di tempat masing-masing.

“Malah sewaktu bertemu dengan Bahrin sekali pun penyokong tidak berganjak di tempat duduk masing-masing.

“Saya tengok penyokong tegar seperti Ultras Malaya bersorak, memainkan gendang dan sebagainya berterusan sehinggalah tamat walaupun kita kalah masih lagi memberikan sokongan. Jadi saya ucapkan terima kasih kepada penyokong kita di stadium dan di rumah,” kata Ismail Sabri.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sijil kepada 153 ahli parlimen belia yang menyertai Persidangan Parlimen Belia 2022 di sini hari ini. Turut hadir Ahmad Faizal.

Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.-MalaysiaGazette