Presiden (Komersial) Capital A, Colin Currie (kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Airasia Group, Datuk Kamarudin Meranun pada Pelancaran tujuh laluan baharu dari Kuala Lumpur ke Seoul, New Delhi, Tokyo, Sapporo, Osaka, Hawaii dan Sydney yang mula dijual hari ini di The Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM,15 JUN 2022.

KUALA LUNMPUR – Syarikat penerbangan jarak sederhana dan jarak jauh AirAsia X (AAX) membuka lebih banyak laluan baharu selepas kerajaan membenarkan pembukaan semula sempadan negara.

Sebagai permulaan, AirAsia X (AAX) membuka penerbangan dari Kuala Lumpur ke London, Dubai dan Istanbul pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Capital A dan Pengasas AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun berkata, laluan penerbangan baharu itu membabitkan empat laluan baharu ke Jepun dan Hawaii, yang mana tiketnya sudah dijual hari ini.

“Penyambungan semula empat laluan jarak sederhana popular dan pengumuman tiga perkhidmatan jarak jauh baharu pada hari ini merupakan satu lagi pencapaian kami melalui satu tempoh yang sukar dalam sejarah industri penerbangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

AAX kini menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur ke New Delhi, Sydney, Seoul (Incheon), Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai), dan daripada Osaka (Kansai) ke Honolulu.

Semua laluan ini tersedia untuk ditempah bermula hari ini hingga 26 Jun 2022, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2022 dan 26 Mac 2023, bermula daripada RM499 (tambang sehala termasuk semua) untuk tempat duduk ekonomi dan daripada RM1,499 untuk tempat duduk premium flatbed.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata, penyambungan semula empat laluan ke Jepun dan Hawaii serta pelancaran penerbangan ke London, Istanbul dan Dubai hanyalah permulaan dan pihaknya mempunyai lebih banyak destinasi dalam perancangan yang akan diumumkan tidak lama lagi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Penyambungan penerbangan semula ke London serta penerbangan kali pertama terus ke Dubai bakal menjadi pemangkin perkhidmatan penerbangan jarak jauh bernilai hebat dan ia akan mula dijual tidak lama lagi untuk perjalanan menjelang akhir tahun ini.

“Melalui perkembangan perkhidmatan ini, kami akan terus menambah jumlah pesawat dan berharap untuk mengambil kembali para juruterbang serta kru kabin kami secara beransur-ansur.

“Saya yakin semua perkhidmatan kami yang disambung semula atau baharu ini akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami akan kembali kepada kapasiti pra-Covid di beberapa laluan utama kami dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

Tambah Benjamin, dengan model baharu AAX yang strategik iaitu menggabungkan perkhidmatan kargo dan penumpang akan memberi keuntungan kepadanya, yang mana syarikat penerbangan lain mungkin tidak dapat melakukannya.

“Ia menjadikan operasi untuk penerbangan ke laluan yang lebih jauh seperti Dubai, Istanbul dan London dapat bersaing secara komersial dan lebih berpatutan kepada para pelanggan kami.” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast