Gambar hiasan

ISLAMABAD – Rakyat di Pakistan diminta untuk mengurangkan jumlah teh yang mereka minum untuk mengekalkan kedudukan ekonomi negara ini.

Menghirup lebih sedikit cawan sehari akan mengurangkan bil import tinggi Pakistan, kata Menteri Kanan, Ahsan Iqbal.

Rizab mata wang asing negara yang rendah – pada masa ini memadai untuk kurang daripada dua bulan paras import, menyebabkan negara ini memerlukan dana segera.

Pakistan ialah pengimport teh terbesar di dunia, membeli lebih daripada AS$600 juta tahun lepas.

“Saya merayu kepada negara untuk mengurangkan penggunaan teh sebanyak satu hingga dua cawan kerana kita mengimport teh secara pinjaman,” kata Iqbal, lapor media Pakistan.

Beliau turut mencadangkan peniaga boleh menutup gerai mereka pada jam 10.30 malam untuk menjimatkan tenaga elektrik.

Kenyataan itu dibuat ketika rizab mata wang asing Pakistan terus menjunam dengan cepat – memberi tekanan kepada kerajaan untuk mengurangkan kos import yang tinggi dan menyimpan dana di dalam negara.

Bagaimanapun gesaan menteri itu diragui oleh orang ramai – menerusi media sosial mereka mempertikaikan bagaimana masalah kewangan yang dihadapi Pakistan boleh ditangani dengan mengurangkan minum teh.

Rizab pertukaran asing Pakistan turun daripada sekitar AS$16 bilion (£13.4 bilion) pada Februari kepada kurang daripada
AS$10 bilion (£8.3 bilion) pada minggu pertama bulan Jun, hampir tidak cukup untuk menampung kos dua bulan bagi semua importnya.

Bulan lalu pegawai di Karachi mengehadkan import berpuluh-puluh barangan mewah yang tidak penting sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk melindungi dana.

Krisis ekonomi adalah ujian besar bagi kerajaan Shehbaz Sharif, yang menggantikan Imran Khan sebagai perdana menteri Pakistan dalam undian Parlimen pada April lalu. – BBC