Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Dua lagi suspek kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya dibuang di kawasan Tanjung Sepat, Banting, Selangor pada Disember tahun lalu telah didakwa di Mahkamah Majistret Klang semalam.

Suspek-suspek tersebut merupakan seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 35 dan 39 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Batu 5, Cheras pada 31 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, polis menerima kes ini pada 9 Januari lalu apabila dua lelaki datang ke balai polis untuk memberikan maklumat tentang satu kejadian kes bunuh yang berlaku di kawasan Pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan dan
mayatnya telah dibuang di kawasan Banting, Selangor.

Bertindak atas maklumat itu, pada hari sama, sepasukan polis dari Balai Polis Klang, IPD Klang Selatan telah berjaya menangkap tiga orang lelaki warga tempatan berlingkungan umur 17 hingga 29 tahun.

Hasil soal siasat terhadap suspek yang ditangkap mendapati maklumat kejadian kes bunuh adalah benar.

Hong Fong berkata, siasatan mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 21 tahun, yang bekerja sebagai juruwang di kedai Cyber Cafe di kawasan Pandamaran Jaya.

Pekerja itu didakwa telah menggunakan wang syarikat untuk kegunaan sendiri, walaupun telah diberikan amaran, mangsa tetap membuat penipuan.

Setelah kelakuannya diketahui, majikannya bersama empat orang lelaki telah mengurung dan memukul mangsa di dalam bilik di kedai tersebut.

”Mangsa telah dibawa ke sebuah pangsapuri di kawasan Klang. Mangsa telah dikurung dan dipukul lagi di dalam rumah tersebut. Oleh kerana mangsa dipukul teruk, mangsa telah meninggal dunia.

”Suspek-suspek telah mengangkat mangsa dan memasukkan dalam kereta serta membuang mayat mangsa di kawasan Tanjung Sepat, Banting, Selangor. Kejadian ini telah berlaku pada bulan Disember tahun 2021,” katanya.

Menurut beliau, seorang suspek yang ditangkap pada 10 Januari lalu dan telah dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Klang pada 21 Januari manakala dua lagi suspek yang ditangkap pada tarikh yang sama telah diikat dengan jaminan bon mahkamah mengikut peruntukkan Seksyen 49 KanunTatacara Jenayah. – MalaysiaGazette