Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kassim Abdul Hamid firefighter Tommy Thomas
Bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kassim Abdul Hamid bersama isterinya, Asma Aziz pada Majlis Penghargaan Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat di Dewan Sutera, Ibupejabat JBPM, Presint 7, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menarik balik rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah di Mahkamah Persekutuan.

Menurut firma guaman mewakili keluarga itu, Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates, arahan itu dibuat oleh keluarga Muhammad Adib kerana tidak mahu memanjangkan perkara tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, firma guaman itu berkata, kes ini dianggap selesai selepas  pihak keluarga dan Pejabat Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan mereka di mahkamah.

“Susulan daripada arahan keluarga Muhammad Adib agar rayuan bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid ditarik balik, peguam telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei lalu, diikuti Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Tommy Thomas memfailkan penarikan rayuan pada Selasa.

“Maka dengan itu, pihak keluarga arwah Adib menganggap proses dan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap Tommy Thomas/AGC selesai dan tamat di sini.

“Mereka juga berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baru,” katanya.

Katanya lagi, terdapat tiga rayuan sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

“Pertama, rayuan oleh AGC bagi menegaskan bahawa hakim koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah manakala dua lagi rayuan Mohd Kassim mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima,” ujarnya.

Rayuan AGC tersebut telah didengar oleh Panel Mahkamah Rayuan pada 8 Februari 2022 memutuskan untuk menolak rayuan tersebut.

Susulan keputusan tersebut, AGC seterusnya memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu tingkat tertinggi kehakiman di negara ini.

“Dua lagi rayuan oleh bapa Muhammad Adib telah digantung pendengarannya, sementara menantikan proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan oleh AGC tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, pihak itu turut mengesahkan keluarga Adib telah menerima pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan pada 29 November 2021.

Bagaimanapun penyelesaian yang dicapai tidak memberi kesan terhadap dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 yang mengesahkan Adib meninggal dunia akibat diserang.

“Ini juga tidak bererti usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh PDRM, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk seorang anggota kerajaan yang mati dibunuh ketika dalam bertugas menjaga keamanan juga boleh diteruskan oleh mana-mana masyarakat sivil, orang awam serta badan-badan bukan kerajaan yang prihatin,” tegas firma itu.

Muhammad Adib, cedera ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia pada 17 Disember 2018, selepas bertarung nyawa selama 21 hari.

Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019.

Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemuka.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast