Pasukan Bomba dan Penyelamat Pahang menemui mayat mangsa yang dipercayai terjun dari Jambatan Tanah Putih pada hari kedua dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini.

KUANTAN – Mayat seorang lelaki yang dikatakan hilang dan dipercayai terjun dari Jambatan Tanah Putih semalam, berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat pada jam 10.15 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zaulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa, Tan Kee Ming, 37, ditemui pada jarak enam kilometer daripada lokasi dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Seramai 17 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam dua hari proses pencarian.

Operasi turut dibantu oleh Pasukan Unit K9 seramai empat orang pegawai dan dua  ekor anjing pengesan serta sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan seorang peniaga yang mengalami kemurungan selepas perniagaannya merosot hilang pagi semalam dan dikhuatiri terjun dari Jambatan Tanah Putih.

Ia susulan penemuan kereta mangsa yang ditinggalkan di atas Jambatan Tanah Putih dalam keadaan berkunci.

Operasi pencarian dimulakan pada petang semalam.

Difahamkan mangsa telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, masing-masing berusia enam dan satu tahun manakala isterinya bekerja di Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu. – MalaysiaGazette