Penduduk Sri Lanka bersesak-sesak di sebuah stesen minyak untuk membeli bahan api yang terhad bekalannya. Foto SAG TV

COLOMBO – Kakitangan kerajaan di Sri Lanka diberi cuti tambahan sehari untuk mengalakkan mereka bercucuk tanam ekoran kebimbangan kekurangan bekalan makanan.

Negara ini mempunyai kira-kira satu juta penjawat awam.

Cuti itu diberikan ketika negara pulau yang mempunyai kira-kira 22 juta penduduk menghadapi krisis ekonomi terburuk lebih 70 tahun.

Sri Lanka sedang bergelut untuk membayar import kritikal seperti makanan, bahan api dan ubat-ubatan kerana ia berdepan dengan kekurangan mata wang asing.

Kelulusan itu diberikan pada hari Isnin apabila pekerja sektor awam diberi cuti setiap Jumaat dalam tempoh tiga bulan.

Ia berkata, keputusan itu sebahagiannya untuk membantu pekerja yang menghadapi kesukaran untuk bekerja akibat kekurangan bahan api serta menggalakkan mereka menanam buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membantu menyara diri dan keluarga.

Isnin lalu, Amerika Syarikat (AS) menyatakan kesediaan untuk membantu Sri Lanka.

Selepas panggilan telefon dengan Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, Setiausaha Negara AS Anthony Blinken berkata, negara itu bersedia untuk bekerjasama dengan Sri Lanka.

Awal bulan ini, Wickremesinghe berkata, Sri Lanka memerlukan sekurang-kurangnya AS$5 bilion (£4.15 bilion) tahun ini untuk membayar import penting.

Kerajaan sedang berbincang mengenai pakej bantuan ekonomi, dengan delegasi IMF dijangka tiba di ibu negara Colombo Isnin depan.

Kejatuhan nilai rupee Sri Lanka, kenaikan harga komoditi global dan larangan baja kimia – yang kini telah ditarik balik – mendorong kenaikan harga makanan tahunan kepada lebih daripada 57% pada April. – BBC