Home Nasional Polis siasat kes gaduh di tengah jalan

Polis siasat kes gaduh di tengah jalan

SHAH ALAM – Polis sedang menyiasat kes pergaduhan antara seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta di Persiaran Kerjaya, Glenmarie, Shah Alam, yang tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pengadu seorang lelaki Melayu juga merupakan penunggang motosikal membuat laporan polis pada 13 Jun kelmarin selepas kejadian berlaku.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati pada 13 Jun sekitar jam 7.15 petang berlaku pertengkaran mulut apabila suspek, 29, yang menaiki kereta jenis Naza Ria enggan mengetepikan keretanya di tempat kejadian yang menyebabkan motosikal pengadu yang bekerja sebagai jururunding, dan penunggang lain tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Pertengkaran mulut yang berlaku pada awalnya disusuli dengan pergaduhan akhirnya dileraikan oleh orang ramai.

“Namun kedua-dua pihak telah bersetuju untuk selesaikan konflik secara baik dan pengadu hanya buat covering report sahaja” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak pengadu dan suspek telah dipanggil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga setahun, atau dengan denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Mohd Iqbal menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

Katanya, pengadu telah menarik semula laporan polis yang dibuat terdahulu. – MalaysiaGazette