Reaksi Faizal Azumu ketika menyaksikan pasukan Harimau Malaya beraksi.

KUALA LUMPUR – Sorakan padu penyokong terhadap pasukan bola sepak kebangsaan Harimau Malaya terutama Ultras Malaya berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang ketika menentang pasukan Bangladesh malam tadi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana di Stadium Bukit Jalil.

“Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada Skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.

“Sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana di stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Menurutnya, kejayaan menewaskan Bangladesh sekali gus melayakkan negara ke Piala Asia cukup bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia.

Beliau meminta pasukan kebangsaan untuk meneruskan fokus dan usaha untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan.

“Alhamdulillah! Syabas skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 setelah menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023.

“Malam bersejarah bola sepak negara, skuad Harimau Malaya berjaya layak secara merit selaku lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan yang bersaing dalam aksi kelayakan,” katanya.

Malaysia mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 selepas membelasah Bangladesh 4 – 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Harimau Malaya layak secara merit kali keempat menerusi slot tempat kedua terbaik kumpulan di belakang Bahrain.

Pada aksi ketiga kumpulan itu, gol Malaysia dijaringkan oleh Safawi Rasid (minit 16), Dion Cools (m 38), Syafiq Ahmad (m 47) dan Darren Lok (m 73) manakala gol tunggal Bangladesh oleh Mohammad Ibrahim (m 31).

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.-MalaysiaGazette