Pegawai JAS bersama kakitangan Majlis Daerah Lipis membuat serbuan ke atas sebuah kilang memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram di Kuala Lipis pada Rabu

KUANTAN – Sebuah kilang yang disyaki memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram dikesan dalam serbuan di Kampung Kerambit, Kuala Lipis, semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Nisah Muhammad @ Hanafi berkata, serbuan dijalankan oleh  Pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Cawangan Cameron Highlands bersama Majlis Daerah Lipis selepas mendapat maklumat dan aduan.

Pasukan serbuan berkenaan diarahkan ke lokasi yang disyaki memproses sisa buangan elektrik dan elektronik secara haram itu untuk melakukan risikan berdasarkan aduan berkaitan pencemaran udara, katanya.

“Hasil siasatan mendapati premis menjalankan kerja-kerja melebur e-waste jenis ‘Printed Circuit Board’ (PCB) untuk mendapatkan logam berharga.

Foto: Jabatan Alam Sekitar

“Penahanan Kelengkapan Operasi di bawah Seksyen 38(1)(a) telah diambil terhadap dua unit relau (furnace) untuk menghentikan pencemaran.

“Sisa buangan e-waste juga telah disita untuk siasatan lanjut, “ katanya menerusi kenyataan, hari ini.

kredit : Jabatan Alam Sekitar

Tambahnya, kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 34B, Seksyen 34A, Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) Udara Bersih 2014 dan PPKAS Buangan Terjadual 2005. – Malaysiagazette