Gambar hiasan

KEPALA BATAS – Seorang pesara berputih mata selepas wang miliknya berjumlah RM134,503 lesap ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, wanita berusia 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada Khamis lalu.

Kata beliau, suspek mendakwa kad kredit milik mangsa telah digunakan untuk pembelian wang kripto (Bitcoin) melalui tiga transaksi berjumlah RM15,991.

“Mangsa menafikan penggunaan kad kredit tersebut susulan tidak mempunyai akaun Bitcoin, namun panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mendakwa pegawai dari Bank Negara.

“Suspek kedua itu meminta mangsa memberikan maklumat perbankan konon bagi tujuan siasatan.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, mangsa menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Radzi, tidak lama selepas tamat panggilan itu, mangsa menerima mesej daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat pengeluaran wang berjumlah RM134,503 daripada tiga akaun bank miliknya.

“Menyedari menjadi mangsa penipuan sindiket, mangsa tampil membuat laporan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette