Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar bercakap kepada media selepas meninjau harga pasaran di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JUN 2022.

SUNGAI BESI – Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar menegaskan beliau akan kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sama sekali tidak berminat untuk menyertai Parti Bersatu Malaysia (PBM).

Lantaran itu, beliau  yang juga Timbalan Menteri Luar itu menolak desas desus akan keluar daripada parti dan menyifatkan ramalan tersebut sama sekali tidak betul.

“Tidak ada niat (untuk sertai PBM).

“Saya kekal dengan Bersatu. Saya boleh sebutkan begitu. Kita kekal bersama Bersatu,” katanya kepada media selepas menghadiri program Bandar Tun Razak Prihatin di Pasar Sungai Besi, hari ini.

Beliau berkara demikian mengulas mengenai ramalan penganalisis politik, Ahmad Atory Hussain bahawa kemungkinan 10 bekas ahli Parlimen PKR akan menarik sokongan sekiranya Datuk Zuraida Kamaruddin digugurkan daripada Kabinet.

Untuk rekod, Kamaruddin merupakan salah seorang daripada 11 Ahli Parlimen yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKS) termasuk  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau)

Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan beliau tidak akan meninggalkan Bersatu dan menjadikan parti itu sebagai wadah perjuangan beliau.

Azmin membuat kenyataan itu selepas desas-desus kuat menyatakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Rashid Hasnon.

Spekulasi itu dikaitkan dengan peletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta MPT Bersatu pada 26 Mei lalu.

Zuraida kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – MalaysiaGazette