KUALA LUMPUR – Pereka fesyen, Ezuwan Ismail tidak menyangka ajakan Allahyarham Adibah Noor ke rumahnya di Pandan Indah menjadi pertemuan terakhir pada minggu lalu.
Ezuwan berkata, dia masih terkejut mendapat berita pemergian arwah Adibah yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles akibat penyakit kanser ovari tahap empat, malam tadi.
Katanya yang juga penyanyi, pertemuan pada minggu lalu menjadi momen terakhir.
“Arwah minta saya mengecilkan baju yang ditempah. Sebelum ini, arwah menempah tiga pasang baju, namun, tidak muat selepas berat badannya turun sebanyak 18 kilogram (kg).
“Ketika itu, barulah arwah buka mulut bercerita mengenai penderitaan dialami apabila menghidap penyakit kanser ovari.
“Doktor mengesahkan kesakitan dialami selama ini akibat penyakit kanser ovari, dua hari sebelum Ramadan.
“Jadi, saya perlu mengecilkan baju yang ditempah ketika Ramadan lalu,” katanya yang mengenali Adibah sejak 2011.
Ezuwan yang juga anggota kumpulan trio E1 berkata, arwah memberitahu, rambutnya mula gugur akibat rawatan kimoterapi.
“Arwah terpaksa memakai rambut palsu apabila mencari rezeki.
“Saya sempat memberi semangat kepada arwah pada pertemuan terakhir ini.
“Cuma saya tidak sampai hati mahu mengabadikan gambar bersamanya. Wajah arwah pucat apabila berat berat menyusut.
“Saya juga ada bertanya kenapa tidak berkongsi penderitaan dengan khalayak dan rakan media, namun, arwah memberitahu belum ada kekuatan,” katanya.
Ezuwan berkata, dia dan arwah tidak selalu bertemu selama lebih 10 tahun bekerjasama dalam menyediakan busana untuknya.
“Kami tidak selalu jumpa, banyak berkomunikasi menerusi telefon bimbit atau mesej sahaja.
“Kali pertama kami bertemu di sebuah acara fesyen pada 2011. Kali kedua pula minggu lalu yang menjadi detik terakhir pertemuan kami.
“Kerjasama selama itu berdasarkan kepercayaan kerana ukuran badannya tidak banyak berubah. Paling kurang, arwah akan minta besarkan baju lebih seinci.
“Hingga saat ini, hampir 1,000 baju pernah ditempah arwah. Beliau juga jenis menolak tajaan, sebaliknya suka menyokong bisnes rakan.
“Sedih juga sepanjang bekerjasama kami tiada gambar bersama,” kata Ezuwan.
Dalam tempoh bekerjasama, katanya, hubungan baik pernah terhenti seketika.
“Ada suatu ketika, arwah nak tempah baju, tetapi saya tak dapat memenuhinya kerana terlalu sibuk dengan komitmen lain.
“Selama ini, memang ada permintaan arwah pada saat akhir, tetapi saya sempat memenuhinya.
“Jadi, arwah mula guna khidmat pereka fesyen lain. Namun, arwah kembali kepada saya tidak lama kemudian.
“Merajuk arwah tak lama. Saya minta maaf kepadanya kerana bukan sengaja berbuat sedemikian.
“Arwah terus sokong khidmat dan kepakaran saya. Apabila selesa dan diberi kepercayaan penuh, sampai satu tahap saya bimbang mengulang rekaan baju untuknya,” katanya.
Mengenang persahabatan mereka, Ezuwan teringat kata-kata seseorang teman.
Betapa untung pereka fesyen jika Adibah mempercayai khidmat dan kepakaran.
“Masin mulut teman saya ini. Jodoh saya dengan arwah memang kuat. Bukan mahu membodek arwah sebab guna khidmat saya, tetapi ada yang beranggapan, arwah diva dan cerewet.
“Namun bekerjasama, arwah sangat ‘sempoi’ dan tidak seperti digambarkan. Barangkali, bukan mudah untuk mereka ‘bertubuh gebu’ mendapat pakaian sesuai,” katanya.
Jenazah arwah Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar, 52, masih berada di hospital dan akan dibawa ke AU1, Taman Keramat Permai. – MalaysiaGazette