Mohamed Omar ayah kepada Allahyarhamah Adibah Noor Mohd Noor atau dikenali Adibah Noor yang meninggal dunia akibat kanser ovari hadir pada pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai. Foto, MOHD ADZLAN 19 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – “Haji Omar, ciumlah anak buat kali terakhir. Semoga berjumpa semula di akhirat,” itu kata-kata seorang kakitangan Masjid Al Ansar, Keramat kepada bapa Allahyarham Adibah Noor.

Ketika itu, Mohamed Omar Zainal Abidin, 89, terpaksa dipapah masuk ke bilik pengurusan jenazah untuk melihat kali terakhir anak perempuannya itu.

Suasana menjadi sayu dan pilu apabila melihat reaksi seorang bapa yang berdepan masalah kesihatan dan tidak menahan sebak selepas kehilangan anak ketiga itu buat selamanya.

Walaupun perlu dipapah, semangat Mohamed Omar masih kuat apabila mengiringi jenazah anaknya itu ke Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai dan setia menunggu sehingga selesai Adibah dikebumikan.

Ketika ditemui selepas selesai pengurusan jenazah berkata, Mohamed Omar mengakui dia tidak mengetahui anaknya menghidap penyakit kanser ovari tahap empat.

“Saya tidak tahu. Dia tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi hospital pun dia tidak beritahu. Tapi kalau Tuhan nak ambil, Dia ambil juga.

“Itu anak saya nombor tiga. Dia seorang yang taat dan pemurah. Kalau orang lain nak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya dia okay, semuanya okay.

“Tiada apa nak cerita, tiada apa yang nak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik buat anak saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Allahyarham juga bukan jenis yang suka menyusahkan walaupun ahli keluarga sendiri.

“Ramai tak tahu dia sakit. Saya pun lambat juga diberitahu. Anak-anak saya semua macam tu. Dia hanya cakap sakit bahagian perut.

“Dia masuk hospital pun dia tak cakap. Dia memang jenis tak nak menyusahkan orang,” katanya.

Sementara itu, selain ahli keluarga, ramai selebriti tanah air hadir memberi penghormatan terakhir kepada Adibah di Masjid Al-Ansar.

Antara yang kelihatan ialah penyanyi terkenal Ziana Zain dan adiknya, Anuar Zain

Turut hadir, Datuk M Nasir, pelakon Datuk Hans Isaac, personaliti radio Linda Onn dan penyanyi Suki Low.

Adibah meninggal dunia pukul 7.45 malam di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari tahap empat yang disahkan dua hari sebelum Ramadan lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast