Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menghantar wakil khasnya untuk bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi bagi menyampaikan sendiri pandangan Malaysia tentang isu menghina Nabi Muhammad SAW kepada kerajaan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah tersebut diambil selain tindakan kementeriannya yang telah memanggil Pesuruhjaya India di Kuala Lumpur ke Wisma Putra bagi menyampaikan nota protes berkaitan hal itu pada 7 Jun lepas.

“Setakat ini difahamkan utusan khas berkenaan belum dapat lagi mengadakan pertemuan secara rasmi dengan Perdana Menteri India. Perdana Menteri mengambil tindakan itu supaya pandangan kita dapat disampaikan sendiri ke pihak tertinggi kerajaan India,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Twenty’s Talk Hi-Tea di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, tindakan diambil oleh kerajaan India terhadap isu berkenaan bagaimanapun dilihat cepat apabila dua ahli politik Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad SAW sudah dilucutkan jawatan dalam kerajaan.

“Saya telah hadir pada Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN-India pada 16 Jun lepas dan keesokannya saya hadir mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar India, Dr Subrahmanyam Jaishankardi dan saya sempat sampaikan pandangan kerajaan Malaysia tentang isu ini.

“Beliau (Dr Subrahmanyam) mengatakan penghinaan dilakukan tidak melambangkan pendirian India dan kami bersetuju kedua-dua belah pihak perlu mencari jalan agar dapat diselesaikan dengan cara lebih baik jika berulang pada masa hadapan,” katanya.

Baru-baru ini, dua jurucakap BJP yang mentadbir India telah mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah RA.

Perkara itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, terutama di Asia Barat yang mengutuk tindakan itu sehingga terdapat pusat beli-belah yang memunggah keluar produk India daripada rak jualan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa plak ada utusan khas? Tu Tan Sri Vikneswaran tu bukan duta khas bertaraf Menteri ke Asia Selatan temasuk India kaa? Ker dia pun sama mcm Hadi Awang makan gaji buta

Comments are closed.