Zuraida Kamaruddin minister PM
Zuraida Kamaruddin

SUNGAI SIPUT – Menjelang pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Zuraida Kamaruddin berharap jawatan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dapat dikekalkan.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan kementerian itu menyelesaikan pelbagai perancangan yang telah diatur dan dibuat selama ini.

“Seperti sedia maklum, saya akan berjumpa Perdana Menteri pada minggu depan. Saya harap ada berita baik, (iaitu) dikekalkan kerana mudah untuk habiskan program dan perancangan yang telah diatur selain menstabilkan negara dan Kabinet,” katanya.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Enhancing Empowerment of Women At the Grassroot Level’ di sini hari ini.

Pada Mei lepas, Ahli Parlimen Ampang itu mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sebagai Menteri jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri.

Pada Khamis lepas, Ismail Sabri berkata, satu pertemuan dengan Zuraida akan diadakan minggu depan bagi membincangkan kedudukan bekas pemimpin Bersatu itu sebagai ahli Kabinet.

Dalam pada itu, Zuraida berkata PBM kini mengintai peluang untuk bertanding di mana-mana kerusi yang bersesuaian di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau berkata, langkah itu dibuat berlandaskan dimensi politik negara yang semakin terbuka tanpa didominasi oleh mana-mana parti besar.

“Kita lihat keadaan sekarang, tiada parti yang menonjol atau dominan. Sama ada parti itu baharu, lama, tua, muda, semua ada peluang. Ia bergantung kepada pendekatan masing-masing… Di Perak, kita ada sasaran yang akan diputuskan kelak,” katanya yang telah diangkat sebagai bakal Presiden PBM.

Zuraida juga berkata, PBM berpeluang merebut tempat di hati pengundi kerana parti itu antaranya bersifat pelbagai bangsa, memperjuang hak wanita serta mengutamakan isu pendidikan dan ekonomi. – Bernama