Keadaan sesak berikutan orang awam beratur panjang menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Kekurangan gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) dan jumlah penumpang yang meningkat ketara pada waktu puncak menjadi faktor kesesakan stesen utama LRT di ibu negara.

Tinjauan MalaysiaGazette di Stesen Pasar Seni di sini pagi tadi mendapati, kesesakan penumpang bermula kira-kira pukul 7.45 hingga 9.15 pagi namun keadaan terkawal dengan kehadiran polis bantuan dan petugas syarikat pengendali.

Penumpang pula dibahagikan mengikut laluan LRT iaitu laluan ke Gombak dan Puncak Alam dengan kumpulan 20 orang dilepaskan dalam satu masa untuk ke platform menunggu.

Walaupun beratur panjang hingga mengambil masa lebih 10 minit, pergerakan penumpang dari Transit Aliran Massa (MRT) ke LRT dilihat lancar dan kesesakan luar biasa hanya berlaku pada waktu puncak.

Orang awam beratur panjang untuk menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2022.

Tinjauan turut mendapati penumpang yang dibenarkan naik ke ruangan menunggu perlu beratur sekali lagi untuk menaiki tren hingga ada yang terpaksa menunggu tiga kali sebelum memasuki ke dalam gerabak.

Rata-rata penumpang dilihat berdepan masalah penjadualan yang tidak konsisten seperti tren lewat lima minit dan mengambil masa yang lama untuk menunggu ketibaan.

Selain itu, koc yang bersaiz kecil serta sesak menjadi faktor mereka tidak boleh masuk ke dalam.

Situasi itu berlaku sejak minggu lalu disebabkan kekurangan gerabak yang mengalami masalah teknikal serta tawaran tambang secara percuma selama sebulan oleh kerajaan pada semua pengangkutan awam kendalian RapidKL.

Menurut petugas Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang ditemui, kebiasaanya sebanyak 60 kali tren akan mengambil penumpang pada waktu puncak namun disebabkan gerabak LRT mengalami masalah teknikal hanya 40 kali tren sahaja beroperasi.

Orang awam beratur panjang untuk menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) ketika tinjaun lensa Malaysia Gazette di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2022.

Situasi tersebut menyebabkan tempoh frekuensi menunggu LRT telah bertambah daripada tiga minit kepada lima minit dan ia berlaku pada waktu puncak terutama ramai penumpang pergi serta pulang dari bekerja.

Tambah petugas Prasarana, bagi mengelak kesesakan luar biasa, orang ramai perlu bijak memilih waktu perjalanan memandangkan jumlah penumpang menggunakan pengangkutan awam kian meningkat sejak kebelakangan ini.

“Selain itu, penumpang juga boleh menggunakan alternatif lain dengan menggunakan laluan dari Stesen MRT Muzium Negara untuk ke Stesen KL Sentral bagi laluan Kelana Jaya atau Puncak Height.

“Tidak semestinya perlu turun di Stesen Pasar Seni untuk ke laluan berkenaan kerana dikhuatiri akan menambah jumlah kesesakan penumpang di sebuah stesen dalam satu masa seperti yang sedang berlaku,” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial keadaan ramai pengguna LRT terkandas akibat kesesakan luar biasa untuk pergi bekerja.

Rata-rata warganet berkongsi keadaan di stesen LRT apabila ramai penumpang tidak dapat meneruskan perjalanan pergi bekerja dengan ada yang mengatakan hanya 50 peratus daripadanya dapat sampai di tempat kerja.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pernah berkata, pengguna LRT terutama Laluan Kelana Jaya diminta bersabar kerana proses membaik pulih dan menyelenggara tren yang menjejaskan waktu ketibaan dijangka siap secara berperingkat sehingga November ini. – MalaysiaGazette