PETALING JAYA – Sudah jatuh ditimpa tangga.
Itu nasib yang dialami oleh seorang wanita, Sudhashini Jayaraman, 32. Sudahlah miskin, pada masa sama diuji kerana ibu yang baru sahaja kehilangan kaki akibat darah beku.
Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, ibunya, Kamala Muthiah, 69, terpaksa menjalani dua kali pembedahan untuk membuang darah beku selepas terjatuh hingga menyebabkan lututnya patah.
“Pada 2017, pertama kali emak saya jatuh dan patah kaki, saya terpaksa jaga dia sepenuh masa sebab terlantar di katil hampir dua tahun dan kembali pulih. Kemudian selepas dua tahun, dia jatuh semula dan lutut di kaki yang sama patah tapi kaki dia sudah baik.
“Pada Mac lalu, ketika saya sudah kerja seminggu, ibu jatuh sekali lagi hingga patah bawah pinggang. Saya terpaksa dia ke Hopsital Putrajaya sekali lagi untuk pembedahan kerana doktor maklum dalam saluran darah kakinya ada darah beku.
“Dua kali dia terpaksa potong kaki disebabkan keadaaan itu,” katanya yang cukup sedih dengan nasib yang menimpa ibunya baru-baru ini.
Ketika ditemui di pusat jagaan warga emas di Petaling Jaya, Sudhashini berkata, beliau merasai hilang semangat apabila melihat keadaan ibunya kini semakin uzur dan tiada sanak saudara yang datang melawat mereka untuk memberi sokongan.
Lebih memilukan lagi, ibunya kini tidak lagi berdaya menguruskan diri sendiri dan memerlukan perhatian sepenuhnya agar luka pembedahan itu tidak dijangkiti kuman.
Sejak kehidupan ibunya berubah, anak yatim itu berkata, bebanan yang perlu ditanggungnya kini tiga kali ganda kerana kos perubatan ibunya meningkat mencecah lebih RM3,000 sebulan.
Sedangkan dua beranak itu hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial.
“Saya tidak mampu nak angkat emak saya hari-hari untuk rawatan cuci luka di rumah sendiri. Bila tanya mereka caj antara RM100 hingga RM150 sehari, kalau sebulan dekat RM1,500 hingga RM3,000. Kos itu tidak termasuk bagi susu dan lampin serta kelengkapan lain.
“Bukan itu sahaja, ubat elak darah beku pula, hospital kerajaan tidak tanggung jika harga melebihi RM300 sebulan. Mereka kata kena beli sendiri dan saya beli di luar setiap bulan dengan anggaran lebih RM500.
“Saya terpaksa hantar emak saya ke pusat jagaan ini untuk pastikan ada orang boleh cuci luka dia setiap hari dan beri perhatian sepenuhnya terhadap dia,” ujarnya.
Sudhashini berkata, ibunya sudah lima hari ditempatkan di pusat jagaan berkenaan dengan kos jagaan yang perlu ditanggung, memaksanya bekerja siang dan malam.
Beliau yang sudah lama tidak pulang ke rumah hanya tidur di dalam kereta setiap hari kerana perlu berulang-alik melihat keadaan ibunya.
Wanita mengakui keadaan itu menyebabkan dia mengalami tekanan.
“Tak tahu nak kata macam mana, saya semakin tertekan sebab tiada siapa untuk saya meluahkan perasan ini dan tidak tahu dengan siapa saya nak mengadu. Dapat sokongan moral pun sudah memadai untuk saya.
“Apa yang saya harap, emak saya kembali sihat dan dapat pulang semula ke rumah kami dan hidup seperti biasa. Saya mahu uruskan dia, lihat dia kembali senyum depan mata seperti dulu,” katanya sambil memberitahu, seorang aktivitis, Maneesha Purushotman yang mencadangkan ibunya dibawa ke pusat itu supaya luka boleh dirawat.
Maneesha mengenali keluarga ini kerana sering mengikut program amal kepada keluarga yang kurang bernasib baik.
“Saya kenal dengan ibunya pada dua tahun lalu. Keluarga mereka memang sangat daif. Kemudian, anak dia hubungi saya dan minta bantuan keperluan seperti susu dan makanan. Bila saya tengok keadaan ibu dia macam ini, saya cadangkan supaya bawa ke sini. Jadi anak boleh bekerja,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Sudhashini boleh berbuat demkian melalui akaun Public Bank 4651263934 atau menghubunginya di talian 017 238 9369. – MalaysiaGazette