Bekas Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar ketika menghadiri perbicaraan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 03 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Nasib Samirah Muzaffar dan dua remaja akan diketahui esok sama ada mereka akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman dijangka membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada 9 pagi esok.

Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Samirah, 47, dan dua remaja maka mereka akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, ketiga-tiga tertuduh itu akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 22 April lepas, Hakim Ab Karim menetapkan 30 Mei sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, walau bagaimanapun, tarikh itu ditunda kepada 21 Jun (esok).

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan.

Pada 14 Feb lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan tersebut bermula pada 6 Sept 2019.

Samirah serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast