Mayat mangsa ditemui terapung berhampiran bot yang dinaikinya untuk memukat ikan berhampiran Pantai Jerejak, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Mayat seorang nelayan ditemui dalam keadaan terapung selepas terjatuh dari botnnya ketika memukat ikan di perairan Pulau Jerejak di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Rajendran, 56 tahun dikatakan terjatuh selepas kakinya terbelit pada pukat.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.15 petang.

Abd Razak.

Kata beliau, sebaik menerima maklumat daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi, pasukannya diatur gerak ke tempat kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

“Sebaik tiba di lokasi, pihak kita menemui mangsa dalam keadaan terapung di permukaan air berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya.

“Rakan mangsa yang berada di situ mendakwa, lelaki terbabit terjatuh ke dalam laut selepas kakinya terbelit pada pukat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa menaiki bot ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

“Mayat mangsa kemudiannya diserah kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi tindakan lanjut.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

“Jika berdepan kecemasan atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146 untuk melaporkan kejadian,” ujar Abd Razak. – MalaysiaGazette