Penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang Myvi dalam kejadian awal pagi tadi.- Gambar Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar belakang sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 3.2 Lebuhraya DUKE menghala ke Gombak berhampiran dengan susur ke Jalan Kuching hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian itu berlaku pukul 9.35 pagi melibatkan kenderaan Perodua
Myvi dan motosikal Yamaha LC135.

“Pemandu Perodua Myvi yang memandu dari Kota Damansara menghala ke Shamelin Mall dan semasa melalui Lebuhraya DUKE di lokasi kejadian tiba–tiba datang penunggang motosikal dari arah belakang di lorong yang sama melanggar belakangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarifudin, akibat rempuhan itu, penunggang motosikal berumur 26 tahun itu cedera parah dan disahkan maut di lokasi kemalangan.

“Manakala pemandu Myvi berumur 27 tahun terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette