Kumpulan Search

KUALA LUMPUR – Syarikat Afjects Sdn. Bhd (Afjects) meminta kumpulan rock terkenal tanah air, Search menyelesaikan bayaran ganti rugi khas berjumlah hampir RM500,000 dalam tempoh terdekat.

Afjets dalam satu kenyataan berkata, ini kerana pihaknya mengambil maklum laporan media mengenai penganjuran dua konsert berasingan iaitu Search Endemik dan Rockin’ on the Rooftop baru-baru ini.

“Kami terkejut dan memandang serius pengumuman itu kerana sehingga ini, selepas hampir lima tahun, syarikat masih lagi menunggu maklum balas daripada kumpulan Search mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Justeru, Afjets akan mengambil langkah wajar dalam masa terdekat untuk melaksanakan keputusan mahkamah bagi mendapatkan pampasan berjumlah hampir setengah juta ringgit dan ganti rugi am yang belum ditaksir.

“Afjets juga sudah memberikan tempoh yang agak lama untuk kumpulan Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka. Kami beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini dan pengumuman siri konsert yang berikutnya membayangkan kumpulan Search kini sudah kembali ke landasannya dan boleh melunaskan segala komitmen kewangannya yang tertunggak,” tegas syarikat tersebut.

Tuntutan itu dibuat susulan kes tindakan kumpulan tersebut yang melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka pada tahun 2016.

Susulan pembatalan konsert tersebut, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) membayar hampir RM500,000 sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka, sekitar Ogos 2017.

Dalam pada itu, Afjets juga berhak menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan yang dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Bagaimanapun atas nasihat peguam, syarikat tersebut tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search, Amy, pada masa itu kerana beliau telah muflis selain Afjets juga difahamkan pada masa ini, bekas pemain gitar bass Search, Nasir juga telah muflis. – MalaysiaGazette