Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yakin Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat secara langsung dalam skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, tegas beliau, berdasarkan perbicaraan kes yang berjalan, beliau yakin  bekas Perdana Menteri itu ditipu oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, pegawai 1MDB, syarikat Goldman Sachs Group Inc, SRC International Sdn. Bhd dan Aabar Investments dari Abu Dhabi.

“Masa lapan tahun lalu, saya yakin Najib terlibat dalam skandal 1MDB secara langsung tetapi selepas mendengar kesnya di mahkamah khususnya kes SRC dan juga 1MDB yang berlangsung sekarang ini, saya mengubah fikiran dan yakin Najib kena tipu.

“Najib ditipu bukan sahaja oleh Jho Low tapi pegawai-pegawai beliau dan pegawai dalam 1MDB. Beliau ditipu oleh syarikat pelaburan terbesar dunia Goldman Sachs serta Aabar Investment dari Abu Dhabi.

“Jadi, kehilangan wang berbilion ringgit itu pada pendapat saya bukanlah kesalahan Najib,” katanya menerusi rakaman video ringkas yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya semalam.

Zaid yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu menjelaskan, lapan tahun lalu beliau dituduh di mahkamah bawah Seksyen 233 Multimedia kerana menghina Najib sebagai Perdana Menteri.

Ketika itu, beliau mengkritik cara Najib mengendalikan 1MDB dan bagaimana negara menanggung kehilangan wang yang banyak kerana 1MDB.

“Ada tanya kenapa saya tukar fikiran? Sebab saya dengar kes-kes yang berjalan, saya yakin Goldman Sachs tipu dia dan saya kata tidak patut kerajaan bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin selesaikan kes itu dengan bayaran RM3 bilion.

“Sepatutnya, Muhyiddin minta Goldman Sachs bayar RM9 bilion kepada kerajaan, sebab itulah jumlah kerugian yang ditanggung oleh negara disebabkan bon yang dibuat oleh syarikat pelaburan itu.

“Memang, sebagai Perdana Menteri, Najib bertanggungjawab, tetapi itu soal lain. Pertanggungjawaban itu sebab dia Perdana Menteri tetapi saya rasa dia bukanlah yang merancang untuk menipu rakyat Malaysia,” katanya.

Namun, Zaid kesal disebabkan tindakan pihak tertentu hendak menjatuhkan Najib melalui pendakwaan terpilih maka majoriti rakyat marahkan bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, apabila sebut 1MDB, Najib menjadi sasaran kemarahan rakyat yang tidak pernah surut menyebabkan individu yang terlibat secara langsung dalam kes berkenaan iaitu Jho Low terlepas daripada tempias kemarahan rakyat.

“Saya pelik, rakyat hanya marahkan Najib seorang sahaja, tak ada pun nak kepada Jho Low, pegawai 1MDB, syarikat pelaburan, Bank Negara, Maybank dan bank tempatan lain yang dinyatakan dalam perbicaraan mahkamah.

“Malah, sehingga kini tidak ada usaha pun dilakukan oleh kerajaan mahu pun pihak berkuasa mencari atau membawa balik ahli perniagaan itu untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Hanya Najib seorang berdepan dengan pertuduhan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sebab Najib boss lah dia kena tanggung jawab . Dia rela orang menipu apabila dia dapat bahagian . Terima bahagian itu patut dinilai . Kalau dia tak ambil bahagian boleh lah kata dia tak bersalah . Tapi dia ambil weh . Bini sekali kerjasama . Anak dan kawan semua dapat bahagian macam dapat harta rampasan .

Comments are closed.