Mohamad Fazli

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor bakal menambah sembilan laluan baharu bagi perkhidmatan percuma Bas Muafakat Johor (BMJ).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perancangan itu akan melibatkan kos bernilai RM3.84 juta.

Salah satu daripada cadangan laluan itu melibatkan laluan dari Bandar Kota Tinggi ke Tanjung Sedili dengan cadangan kekerapan sebanyak empat kali sehari perjalanan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Muszaide Makmor (BN-Sedili) berhubung inisiatif kerajaan Johor untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Perkhidmatan BMJ dilaksanakan sejak 2016 yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Selain memberi kemudahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di laluan sosial yang telah dikenalpasti, katanya.

Menjawab soalan lain, Mohamad Fazli berkata, Johor telah mengambil tindakan terhadap 55,203 ekor anjing liar melalui pelbagai operasi yang telah dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun kontraktor yang dilantik agensi berkenaan sejak 2017 hingga Mei 2022.- MalaysiaGazette