Keluarga Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan berjalan keluar selepas selesai keputusan bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund dan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan untuk melepas dan membebaskan isteri serta anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Samirah Muzaffar di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto, MOHD ADZLAN 21 JUN 2022.

SHAH ALAM – Keluarga Nazrin Hassan mahu Jabatan Peguam Negara membuat rayuan terhadap keputusan melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada tuduhan membunuh.

Abang Nazrin, Dr. Abdul Aziz, 62, berkata, pihaknya mahu mendapatkan keadilan dan mencari kebenaran terhadap kematian adiknya.

“Kita ikut mana pun, kita bersyukurlah keputusan mahkamah walaupun tidak berpihak kepada keluarga kita.

“Kita mohon untuk pendakwaan buat rayuan dan kita mohon demi keadilan. Insya-Allah kebenaran akan timbul, kami doa macam itu.

“Berpuas hati ataupun tidak bukan isu. Kita terima takdir. Dan kita mahu usaha disambung untuk mencari keadilan. Dengan benda ni bukan senang. Tiada siapa nampak apa tiba tiba mati,” katanya yang ditemui selepas perbicaraan tamat.

Menurut Dr. Abdul Aziz banyak persoalan tidak terjawab dalam perbicaraan.

Beliau menegaskan, sekiranya pihak Jabatan Peguam Negara tidak mahu membuat rayuan keluarga akan meminta satu inkues dijalankan terhadap kematian adiknya.

Sementara itu Che Elainee Che Hassan, 65, kakak Nazri turut bersetuju agar pihak pendakwaan membuat rayuan.

“Kami terima keputusan mahkamah, itu saja dan kami berserah kepada Allah.

“Untuk mencari kebenaran, kami hanya mahu mencari kebenaran. Kita bukan mahu mencari mangsa untuk dihukum. Kami hanya mahu mencari kebenaran. Itu sahaja,” katanya.

Sementara itu pihak pendakwaan berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Samirah bersama remaja, dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Nazrin empat tahun lalu.

Ab Karim menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47, yang juga balu Allahyarham Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.-MalaysiaGazette