Soon Hin (dua dari kanan) berbual dengan Tony Goh (dua dari kiri) pada sidang media berhubung pelaksanaan semula Fi Hotel di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Kutipan yuran hotel akan dilaksanakan semula 1 Julai ini ke atas semua hotel berdaftar di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata, kegiatan aktiviti pelancongan sudah rancak sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu dan jumlah kemasukan pelancong ke Pulau Pinang amat menggalakkan, menyebabkan kerajaan negeri berpendapat  kutipan Fi Hotel dilaksanakan semula.

Jelas beliau, yuran hotel adalah antara sumber pendapatan penting negeri ini dalam membantu pemasaran serta pembangunan sektor pelancongan.

“Kerajaan negeri sebelum ini sudah melakukan pelbagai inisiatif bantuan kepada penggiat industri pelancongan dan ekonomi kreatif sejak penularan wabak Covid-19, termasuk pengecualian yuran hotel sejak 1 Julai 2020 hingga 30 Jun ini.

“Malah, sebelum Covid-19, sebanyak RM5 hingga RM8 juta yuran hotel telah dikumpul setiap tahun,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Pada masa ini, kadar yuran hotel bagi hotel empat dan lima bintang adalah sebanyak RM3 sebilik setiap satu malam manakala kadar RM2 sebilik bagi setiap malam dikenakan terhadap hotel tiga bintang ke bawah termasuk dormitory, hotel bajet, hostel dan rumah tumpangan.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh, Pengerusi Penang Hoteliers Association (PHA), Datuk Lim Mee Lee dan Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Andy Lau.

Dalam perkembangan lain, Soon Hin berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman syarikat pelopor perhotelan dunia, IHG Hotels & Resorts (IHG) mengenai kerjasama antara IHG dan pemilik hotel terkemuka Malaysia, Tradewinds Corporation Berhad bagi mentransformasikan Mutiara Beach Resort Pulau Pinang di Teluk Bahang.

Ia menunjukkan keyakinan, kepercayaan pelabur terhadap sektor pelancongan walaupun menerima kesan akibat pandemik Covid-19 dua tahun lalu,tambah beliau.

“Resort lima bintang itu ditutup sejak 2016 ‘bagi kerja pengubahsuaian’ dan kini kami gembira serta tidak sabar menyaksikan pemulihannya dengan kerjasama industri hospitaliti terkemuka dunia.

“Sudah pasti dengan kehadiran jenama IHG adalah sama sekali setanding dengan visi Wawasan Pulau Pinang2030 dan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang untuk memartabatkan industri pelancongan negeri ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast