Peguam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi diberitahu laporan forensik yang mengandungi rakaman perbualan aplikasi WhatsApp antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama ahli dalam kumpulan media sosial tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dihadapi Ahli Parlimen Muar itu di mahkamah.

Peguam bela, Gobind Singh berkata, ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan data peribadi di telefon bimbit seseorang diakses oleh individu lain.

Beliau turut mempertikaikan apa kuasa yang membolehkan Pegawai Forensik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof melakukan pintasan rakaman perbualan itu di dalam siasatannya.

“Apa punca kuasa untuk melakukan siasatan ke atas telefon tangan seseorang dan memeriksa data peribadinya? Setuju atau tidak tuan diberi arahan dan bertindak tanpa panduan undang-undang?

“Tidak ada peruntukan khusus yang benar untuk ekstrak imej rakaman perbualan dan tidak ada peruntukan boleh akses data-data peribadi seorang,” soalnya kepada saksi keempat itu pada kes perbicaraan bekas Menteri Belia dan Sukan itu di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Menjawab soalan itu, Firdaus telah berkhidmat lapan tahun di SPRM menjelaskan, beliau mungkin tidak pasti dengan undang-undang itu ketika membuat siasatan.

Namun jelas beliau, di bawah Seksyen 90A(a) Akta Keterangan 1950, pegawai SPRM dibenarkan melakukan siasatan rakaman perbualan seseorang untuk melakukan siasatan.

“Mesej itu diekstrak, bukan dipintas. Saya bertindak atas arahan pihak atasannya di SPRM untuk mengeluarkan mesej daripada kumpulan WhatsApp bernama “ValueAdd” dan “Oceans17”,” katanya.

Sebelum itu, Wan Mohd. Firdaus mendedahkan beberapa perbualan melibatkan mesej antara Syed Saddiq dengan ahli di dalam kumpulan aplikasi itu.

Syed Saddiq berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi.

Kes itu didengar oleh Hakim Azhar Abdul Hamid yang mana seramai 40 saksi akan dipanggil pada perbicaraan kes itu.

Selain Gobind, Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk S. Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jiet.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2022.

Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen bagaimanapun beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 25 November tahun lepas dan permohonan itu dibenarkan.

Pada 22 Julai 2021, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – MalaysiaGazette