Bekalan minyak masak paket habis di salah sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Seperti telah diduga, minyak masak paket 1 kilogram (kg) hampir habis di rak-rak di beberapa pasar raya sekitar Kuantan.

Keputusan kerajaan mengumumkan pemansuhan kawalan harga siling minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2 kg, 3 kg dan 5 kg bermula 1 Julai ini mendorong pembeli memborong minyak masak pek polibeg 1 kg bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 seunit.

Rak menjual minyak masak paket 1 kg di sebuah pasar raya hampir habis ketika tinjauan MalaysiaGazette hari ini.

“Makcik dah agak akan habis,” ringkas jawapan seorang warga emas yang disapa MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Namun, terdapat juga pengguna yang memikirkan alternatif lain selain bergantung kepada minyak masak untuk masakan di rumah.

Seorang pembeli yang ingin dikenali sebagai Mort, 38, berkata, pengumuman kerajaan baru-baru ini tidak menjejaskan keluarganya.

Seorang pembeli, Mort, 38, yang ditemui MalaysiaGazette di sebuah pasar raya di sekitar bandar Kuantan hari ini.

“Kalau goreng-goreng ni, saya lebih suka guna ‘air-fryer’ untuk goreng ayam dan sebagainya. Tiada masalah,” jelasnya.

Katanya, beliau tidak terlalu terkesan dengan pengumuman penarikan semula subsidi minyak masak tulen itu berbanding para peniaga.

“Peniaga mungkin terjejas la sebab mereka menggunakan minyak masak dalam kuantiti yang banyak untuk menggoreng atau memasak,”katanya.

Rak menjual minyak masak paket bersubsidi 1 kg di sebuah pasar raya di Kuantan mengenakan syarat pembelian tiga paket seorang.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam berkuat kuasa 1 Julai.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang dapat menstabilkan harga.

Bagaimanapun, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast