Pemandangan indah Delta Sarawak yang dikongsi Facebook Ariqa Adilla dan disiarkan dalam Facebook Sarawak Delta Geopark.

KUALA LUMPUR – Delta Sarawak seluas 3,112 kilometer persegi telah dimasukkan dalam senarai Geopark Kebangsaan yang keenam di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 20 Jun lalu.

Delta Sarawak kaya dengan keunikan landskap batuan yang meliputi 28 tapak, kepelbagaian biologi sebanyak 12 tapak dan budaya yang merangkumi 14 tapak.

“Daripada 28 geotapak tersebut 12 bertaraf antarabangsa, lapan bertaraf kebangsaan dan lapan bertaraf tempatan.

“Pelawat yang mengunjungi geopark ini akan dapat melihat formasi rupa bumi yang didasari oleh pelbagai jenis unit yang berusia daripada karbon hingga resen,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.

Delta tersebut mempunyai kepelbagaian biodiversiti dengan spesies endemik Borneo seperti Orang Utan, Monyet Belanda (Proboscis Monkey) dan Cicak Batu Fairy (Fairy Rock Gecko).

Selain itu, Delta Sarawak turut kaya dengan warisan budaya melibatkan seni bina, peralatan muzik, senjata sehingga kepada makanan yang terhasil daripada kewujudan masyarakat berbilang kaum.

Pengiktirafan keenam ini adalah selepas Geopark Lembah Kinta dan Geopark Lenggong, Perak; Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah; Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah dan Geopark Kebangsaan Labuan.

“Pengiktirafan ini adalah satu lagi pencapaian negara, khususnya Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pemeliharaan kelestarian alam semula jadi.

“Dan pengurusan mampan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Menurut Takiyuddin, kementerian percaya kerjasama erat yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dapat memastikan Geopark Kebangsaan dapat diurus secara baik.

Di samping itu usaha berterusan itu juga untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat khususnya di dalam kawasan dan sekitar wilayah

Tambahnya, Geopark Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui penglibatan masyarakat tempatan dalam pelbagai aktiviti dan program pembangunan geopark. – MalaysiaGazette