Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam

KUALA LUMPUR – Kematian bayi Nour Rania Asyifaa ketika dalam jagaan di pusat asuhan di Seremban, Negeri Sembilan pada Februari lalu mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran di Instagram beliau, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan semula kematian bayi tersebut susulan laporan bedah siasat yang meragukan.

“Bagi saya tidak masuk akal Baby Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret.

“Dan lagi satu yang kawan saya pointed out, kesan di leher itu nipis. Kalau betul dijerut dengan buai, will it not show a thicker mark? Tak pernah saya tengok buai yang bertali nipis.

“PDRM, You need to re-investigate this case,” tulisnya dalam Instagram semalam.

Media sebelum ini melaporkan, bayi tersebut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sendayan pada jam 4.30 petang selepas pengasuh wanita membawa mangsa ke klinik untuk rawatan.

Hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban merumuskan tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi tersebut.

Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan itu ditetapkan semula pada 29 Jun ini di hadapan hakim Mahkamah Koroner Seremban.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rushan Lutfi Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mahkamah dimaklumkan hakim koroner yang sepatutnya mengendalikan inkues itu bercuti kerana tidak sihat. – MalaysiaGazette