Gambar yang dikongsi Ong Kian Ming di Twitternya.

KUALA LUMPUR – Mungkinkah Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dilantik, Syahredzan Johan, akan bertanding di Parlimen Bangi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?

Persoalan itu timbul selepas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming melantik Setiausaha Politik Lim Kit Siang itu mewakili beliau di kawasan parlimen tersebut.

Menerusi hantaran di Twitter, Kian Ming yang mengumumkan pelantikan tersebut berkata, Syahredzan akan membantu beliau dalam menguruskan isu yang dihadapi penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan.

“Saya melantik @syahredzan sebagai wakil saya di P102 Bangi untuk membantu saya dengan isu yang dihadapi oleh penduduk dan pengundi di kawasan ini yang telah mencecah 300,000 pengundi.

“Selamat datang ke kawasan Parlimen Bangi kepada twetfemes!” ciapnya di Twitter.

Pada 9 Mei lalu beliau mengumumkan untuk tidak menawarkan dirinya sebagai calon dalam PRU15.

Kian Ming berkata, beliau belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu dan bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara jika khidmatnya masih diperlukan.

Kian Ming antara pemimpin DAP yang gagal mempertahankan kedudukan dalam CEC DAP bagi sesi 2022 hingga 2025 pada Mac lalu.

Karier politik Kian Ming bermula sebagai Ahli Parlimen Serdang sejak 2013 sebelum menyandang kerusi Parlimen Bangi pada 2018.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Bangi dengan jumlah majoriti 68,768 undi selepas memperoleh 102,557 undi.

Kian Ming menewaskan tiga calon lain termasuk Liew Yuen Keong daripada Barisan Nasional dan Shafie Ngah daripada Pas.

Statistik Subnasional Parlimen yang meliputi statistik sosioekonomi dan alam sekitar merekodkan Bangi sebagai kawasan Parlimen paling ramai penduduk iaitu 688,000 orang. -MalaysiaGazette