Mohd Sabirin Mohd Sarbini

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan pelbagai kategori zakat tahun ini berjumlah kira-kira RM1.05 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sasaran tersebut mampu ducapai berikutan promosi yang dipergiatkan menerusi Kempen Bulan Taksir Zakat dan pengenalan kaedah pembayaran menerusi aplikasi mudah alih.

“Kaedah promosi melalui medium ini akan menyumbang peningkatan yang lebih tinggi daripada tahun lepas dan secara keseluruhannya akan meningkatkan kutipan atas talian dengan lebih banyak berbanding secara manual.

“LZS memperkenal dan menggalakkan semua lapisan masyarakat menggunakan mobil app bagi segala urusan zakat. Melalui medium ini, mereka boleh membuat segala urusan seperti semakan, taksiran dan bayaran.

“Sasaran mobil app ini bagi tahun pertama diperkenalkan 2021, jumlah pengguna sehingga kini 32,000 orang dan bagi sebulan ini kami sasarkan dalam lingkungan 5,000 peserta baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Bulan Taksir Zakat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Kempen bulan itu dilancarkan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Hadir pada majlis, Timbalan Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Ambrin Buang serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Datuk Dr. Abdul Rahman Abdullah.

Mengenai Kempen Bulan Taksir Zakat, Mohd Sabirin berkata, tiga objektif disasarkan menerusi program itu iaitu untuk mengalakkan atau menjadikan budaya taksir zakat secara tahunan dan mendidik masyarakat membuat taksiran yang tepat dan mudah.

Ketiganya, kata beliau, menggalakkan semua masyarakat membayar zakat atau mentaksirkan zakat mereka yang pelbagai, bukan hanya satu jenis iaitu zakat fitrah sahaja.

Jelas beliau, kempen itu diadakan bermula 15 Jun hingga 31 Julai ini, yang mana LZS telah membuat lima perancangan promosi.

“Antaranya, kempen lapangan, kempen insentif, promosi secara maya melalui webinar, promosi melalui maya iaitu media sosial seperti Facebook dan sebagai serta lain-lain promosi bagi memastikan semua masyarakat menerima maklumat mengenai Bulan Taksir Zakat yang akan diadakan pada Jun setiap tahun.

“Hari ini juga LZS memperkenalkan satu lagi perkhidmatan yang disediakan iaitu Direct Debit.

“Perkhidmatan ini akan memberi kemudahan kepada pembayar zakat melalui bank yang didaftarkan mereka dan potongan akan dibuat setiap bulan oleh LZS,” katanya.

Ini kata beliau, akan memudahkan masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab membayar zakat mereka, di mana tidak perlu datang ke cawangan LZS, melainkan membuat sekali urusan melalui bank.

Katanya, potongan itu akan dibuat secara berterusan setiap bulan sehingga ditamatkan oleh mereka.

Orang ramai yang berminat dengan kempen itu boleh melayari laman web jom.zakatselangor.com.my. – MalaysiaGazette