Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat gimik perasmian tapak Pengorekan Terowong Genting projek Laluan Rel Patai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto, MOHD ADZLAN 23 JUN 2022.

BENTONG – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) diminta merangka kadar tambang perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebelum ia siap sepenuhnya menjelang Januari 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap tiket bagi pengangkutan awam baharu itu tidak membebankan rakyat dan sama seperti perkhidmatan sedia ada.

“Saya meminta Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang amat berpatutan.

“Kadar tambang perkhidmatan ECRL kalau boleh sama seperti (ditawarkan) Keretapi Tanah Melayu (KTM) kepada Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) yang mesra rakyat,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang di Bukit Tinggi, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong.

Turut hadir Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak; Naib Presiden China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Sun Ziyu dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), Kong Qi.

Ismail Sabri berkata, pengorekan Terowong Genting bagi laluan ECRL dari Bentong ke Gombak sepanjang 16.39 kilometer (km) yang bermula sejak April tahun lalu enam bulan lebih awal berbanding jadual asal.

“Penggerudian Terowong Berkembar Genting bermula dengan penembusan Terowong Paka sepanjang 1.1km pada 9 April tahun lalu.

“Pengorekan terowong ini akan selesai dalam tempoh dua tahun setengah hingga tiga tahun.

“Ia sekali gus menjadikan laluan Bentong-Gombak ini sebagai terowong rel terpanjang di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, pengorekan Terowong Genting merupakan satu-satunya penggerudian 59 terowong menggunakan kaedah Mesin Pengorek Terowong (TBM) berbanding kaedah gerudi dan letup bagi terowong-terowong sebelum ini.

“Mesin TBM buatan China seberat 1,600 tan ini mampu menembusi Banjaran Titiwangsa di sepanjang kawasan Bukit Tinggi menghubungkan Bentong, Pahang dengan Terminal Bersepadu Gombak, yang menjadi pintu masuk utama ke ibu negara.

“Pembinaan Terowong Berkembar Genting ini adalah antara komponen utama Projek ECRL kerana ia dapat melengkapkan jambatan darat atau landbridge bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette