Mohd Fadhlan menolak motosikal salah sebuah daripada 20 motosikal pelanggannya yang rosak ditenggelami banjir setelah surut di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang pemilik bengkel motosikal kerugian lebih RM5,000 selepas 20 motosikal pelanggannya rosak ditenggelami banjir kilat di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu di sini, pagi tadi.

Mohd Fadhlan Jaafar, 36, berkata, dia menyedari kejadian malang itu kira-kira jam 8 pagi tadi ketika hendak memulakan perniagaan yang diusahakannya itu sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, kejadian hari ini adalah yang paling teruk apabila bengkel kayunya itu tenggelam setinggi kira-kira 0.8 meter sehingga turut merosakkan peralatan bengkel termasuk mesin kimpal yang baru dibelinya bulan lalu.

“Baru semalam kawasan ini juga dilanda banjir kilat dan pihak berwajib baru sahaja bersihkan tali air di hadapan bengkel menyebabkan saya tidak sangka kejadian pagi ini lebih buruk dari semalam.

“Habis kira-kira 20 buah motosikal termasuk lima buah yang hendak diambil pelanggan hari ini ditenggelami banjir menyebabkan saya kerugian lebih RM5,000 termasuk peralatan bengkel dan sebuah mesin kimpal yang baru dibeli bulan lepas,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Tuminah Kadi

Menurutnya, dia bagaimanapun lega kerana pelanggan memahami situasi dihadapi dan tidak menyalahkannya namun, dia terpaksa menanggung segala kos baik pulih motosikal yang rosak.

“Paling saya terkilan, mesin kimpal yang baru dibeli bulan lalu pun turut rosak ditenggalami banjir dan terpaksalah saya menabung semula untuk beli mesin baharu.

“Saya harap, pihak berwajib dapat turun padang meninjau punca kejadian ini agar ianya tidak berulang sekaligus menyusahkan penduduk,” katanya.

Tuminah menunjukkan masalah saliran perparitan di Jalan Ladang Seberang Gajah, Kampung Paya Luboh yang menjadi punca banjir kilat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang turut turun padang meninjau masalah penduduk berkata, saluran perparitan yang belum diselenggara dikenalpasti menjadi punca banjir kilat itu terutama di kawasan Paya Rumput, Kampung Paya Luboh dan Kampung Bukit Berlian.

“Keadaan ini bertambah buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang laut menyebabkan kawasan terbabit dilanda banjir kilat.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, kita telah membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebanyak RM40 juta untuk membina dua sistem saliran baharu iaitu di sempadan Paya Luboh ke Klebang dan antara Paya Luboh ke Kampung Bukit Berlian,” katanya.