Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pemansuhan harga siling ayam dan telur serta penamatan subsidi untuk minyak masak tulen botol dua ke lima kilogram bermula 1 Julai depan dijangka akan memberi kesan besar kepada rakyat.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) melahirkan kebimbangan pelaksanaan tersebut akan menambahkan lagi bebanan kerana ketika ini telah berlaku peningkatan kos berkaitan keperluan rakyat.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, selain pemberian subsidi bersasar kerajaan harus bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Ia bagi menyeimbangkan kedudukan ekonomi dan peningkatan harga barangan keperluan.

Serentak itu beliau menggesa kerajaan supaya menyediakan mekanisme yang komprehensif untuk persediaan rakyat berhadapan peningkatan kos sara hidup menjelang 1 Julai nanti.

Katanya, pendekatan yang diambil bukan sahaja perlu bersifat “one-off” tetapi mesti memastikan kitaran perekonomian rakyat dapat berjalan dengan baik.

“ABIM menegaskan situasi hari ini menunjukkan rakyat bertungkus lumus bekerja lebih dari satu profesion siang dan malam untuk meningkatkan pendapatan kerana rakyat memerlukannya untuk memenuhi keperluan asas hidup mereka.

“ABIM juga berpandangan mekanisme yang lebih komprehensif ini perlu memandangkan terdapat kemungkinan akan berlaku kenaikan kos dan harga untuk keperluan-keperluan lain seperti tarif elektrik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebelum ini kenaikan harga barang keperluan oleh peniaga khususnya premis makanan telah berlaku sebaik penguatkuasaan gaji minimum pada bulan April.

Ini dibuktikan dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur inflasi mencatat peningkatan 2.3 peratus kepada 125.9 pada April berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun lalu.

“Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan peningkatan inflasi makanan lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan Makanan & Minuman merekodkan kenaikan.

“ABIM khuatir pengumuman terbaharu berkenaan minyak masak, harga ayam dan telur ini akan menambahkan lagi bebanan rakyat ekoran peningkatan kos-kos keperluan rakyat.

“Ini memandangkan harga minyak masak botol akan meningkat yang akan membebankan peniaga selain pengeluaran minyak paket yang sedia ada terhad menjadi buruan pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette