Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menangguhkan pelaksanaan projek terowong dasar laut dengan segera dan memberi fokus dalam melaksanakan projek tiga lebuh raya dan pelan induk pengangkutan bagi menangani masalah kesesakan jalan raya di negeri ini.

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ia susulan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mendakwa lokasi laluan keluar masuk terowong itu belum ditetapkan setelah hampir 10 tahun projek itu diumum dan ditandatangani.

Jelas beliau, tindakan Kon Yeow mencerminkan beliau sedang berusaha untuk membersihkan nama kerajaan negeri sebagai persediaan untuk berdepan dengan keadaan yang bakal dihadapi mereka sekiranya projek terowong dasar laut gagal dilaksanakan.

“Projek terowong dasar laut merupakan satu penipuan politik DAP kerana ia dimeterai pada tahun 2013 namun sehingga kini masih belum kelihatan.

“Malah tanah telah diberikan sebagai bayaran penyediaan laporan kebolehlaksanaan oleh kerajaan kepada pihak pemaju untuk membina projek perumahan mewah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Tong Keong, kerajaan negeri digesa beri penjelasan kepada rakyat berhubung isu ini termasuk menjawab mengapa kontraktor yang dilantik mereka tidak mengkaji dengan teliti sama ada pelan pembesaran pelabuhan Pulau Pinang akan membantutkan pelaksanaan projek terowong itu ketika menyediakan laporan kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut.

“Selain itu, mengapa kerja kaji semula kebolehlaksanaan projek itu tidak dijalankan semasa pemimpin DAP menjawat Menteri Pengangkutan pada tahun 2018?

“Adakah laporan kebolehlaksanaan terowong dasar laut yang dijalankan 10 tahun lalu masih sesuai digunakan untuk masa kini?,”soal Tong Keong. – MalaysiaGazette