BANGI – Langkah kerajaan untuk mengstruktur semula subsidi perlu dilihat sebagai bantuan sementara untuk meringankan beban yang dihadapi rakyat.
Ahli Ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, bantuan dana perlu sampai terus kepada golongan yang betul-betul memerlukan.
“Kalau boleh kita tingkatkan sasaran ini dalam konteks sasaran mikro di mana mensasarkan golongan B40 dan berpendapatan rendah.
“Mungkin langkah seterusnya, kerajaan kena bezakan keluarga anak sepuluh dengan keluarga anak dua. Mereka dikategorikan dengan lebih lanjut supaya bantuan itu lebih menepati keperluan dia.
“Malah kerajaan pun memastikan bahawa apa juga program subsidi ini perancangan kena betul,” katanya selepas menjadi ahli panel dalam program Bicara Persada ke-61 berjudul Menjunjung Titah Hari Keputeraan KDYMM Tuanku YDPA: Apa tindakan seterusnya? di Persada Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.
Hadir sama adalah Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA-UKM) Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Ami Baharuddin dan Pengerusi Eskekutif Executive World Business Affairs Sdn Bhd, Prof Emeritus Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.
Noor Azlan berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai pemansuhan subsidi minyak masak berbotol.
Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) itu berkata, sekiranya Putrajaya mahu menjadi negara maju sepenuhnya, maka kerajaan perlu mencari kaedah lain daripada memberikan subsidi kepada semua rakyat.
“Bantuan subsidi dan Bantuan Keluarga Malaysia bagus tetapi ia jelas ini bukan selama-lamanya. Kena ada sasaran yang tepat dan ia pastinya lebih baik daripada pemberian subsidi meluas.
“Kaedah sasaran mikro adalah yang terbaik dan rakyat dapat apa yang mereka perlukan dengan cara bersasar,” kata Noor Azlan sambil menambah perbelanjaan negara akan berkurangan.
“Saya desak kerajaan kalau boleh pergi satu lagi tahap dengan memperkenalkan subsidi bersasar mikro dan ia boleh dilakukan kerana data itu boleh diperkemaskan dan lebih tepat.
“Ia juga akan memudahkan rakyat untuk akses kepada program bantuan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette