Operasi selamatkan sahabat jalanan atau gelandangan oleh DBKL dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain berjaya mendekati 41 gelandangan termasuk empat orang warga asing bermula tengah malam tadi di ibu kota- .Gambar Ihsan DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerusi inisiatif murninya telah melancarkan operasi menyelamatkan golongan gelandangan atau dikenali ‘sahabat jalanan’ di sekitar ibu negara.

Seramai 41 orang gelandangan atau ‘sahabat jalanan’ telah berjaya dikesan dan diselamatkan sejak semalam hingga hari ini.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya, DBKL berkata, operasi menyelamatkan gelandangan dilakukan dengan kerjasama bersepadu polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Seramai 82 anggota dan pegawai mewakili pelbagai agensi terbabit turun padang mendekati sahabat jalanan yang dikesan menghuni di kaki lima dan jejantas awam sebagai tempat tinggal mereka.

Dalam serbuan dan pemeriksaan di beberapa lokasi panas di pusat bandar raya yang disasarkan berjaya menemui gelandangan iaitu enam orang di Masjid India; Masjid Jamek (3), Segi College; Maybank Jejantas Pudu (4); Mydin Jalan Silang, Jalan Petaling, Bus Stand Klang, Bangkok Bank (16) : Jejantas Brickfields (seorang), Masjid Negara, Jejantas Chow Kit, CIMB Alka Ria (seorang) dan Jejantas Jalan TAR (dua orang).

Operasi selamatkan sahabat jalanan atau gelandangan oleh DBKL dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain berjaya mendekati 41 gelandangan termasuk empat orang warga asing bermula tengah malam tadi di ibu kota.Gambar Ihsan DBKL

Sebahagian daripada gelandangan itu telah dipindahkan ke Anjung Kelana, Taman Desa yang terdiri daripada 14 orang lelaki.

Manakala seramai 20 lelaki gelandangan dan tiga wanita  dilepaskan semula.

Dalam pada itu seramai empat lagi gelandangan warga asing dibawa oleh pihak Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen yang diperuntukkan.

Secara keseluruhannya dalam operasi berkenaan, sejumlah 41 orang sahabat jalanan (gelandangan) yang terdiri daripada 37 lelaki dan empat wanita telah diselamatkan dalam operasi kali ini.

Menurut DBKL, operasi menyelamatkan sahabat jalanan itu akan diteruskan dengan kerjasama agensi sahabat yang lain dari semasa ke semasa di ibu negara selepas ini.- MalaysiaGazette