Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

MELAKA – Kerajaan komited bersama pihak swasta dalam menangani isu kekurangan pekerja bagi menyokong pemulihan sektor perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menyedari beberapa sektor utama mengalami masalah kekurangan tenaga pekerja.

Oleh itu, katanya, isu berkenaan sedang ditangani Kementerian Sumber Manusia, dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan meluluskan kira-kira 266,000 pekerja asing.

“Saya telah minta proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan supaya tidak menjejaskan pemulihan ekonomi yang boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada industri dan kerajaan.

“Bagi rancangan masa panjang, kerajaan akan bekerjasama dengan komuniti perniagaan untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada pekerja asing.

“Ianya melalui penggunaan teknologi dan automasi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja peringkat domestik,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-76 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sebuah hotel di Melaka hari ini.

Ismail Sabri turut menggesa semua industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil peluang kemudahan kewangan dan dana serta geran disediakan pelbagai agensi kerajaan untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0.

Katanya, masa itu emas dan dengan cabaran luar yang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, strategi kerajaan dalam penyediaan Bajet 2023 akan tetap berfokus pada pengukuhan pemulihan ekonomi, menyokong permintaan dalam negara memulihkan pelaburan swasta serta menguruskan isu inflasi.

Beliau berkata, sikap terbuka untuk menerima pembaharuan dalam semua aspek adalah penting bagi mengukuhkan daya saing Malaysia terhadap sebarang kejutan masa depan.

“Kita perlu meletakkan negara kita supaya relevan dan berdaya saing dalam menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

“Konsep Keluarga Malaysia mengajak rakyat mengetepikan perbezaan masing-masing bagi menggembleng tenaga untuk menghadapi sebarang cabaran sebagai sebuah keluarga.

“Saya percaya apabila rakyat sekalian mempunyai persamaan, ia akan menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia dalam mencapai kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.

Beliau juga menyeru sektor swasta dan komuniti perniagaan bekerjasama dengan sektor awam dalam mengurus serta mengatasi pelbagai cabaran itu.

Katanya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan penglibatan komuniti perniagaan untuk menghasilkan idea membina dan cara penyelesaian yang boleh dilaksanakan supaya perkembangan ekonomi dan perniagaan terus mampan.

Kerajaan juga, menurutnya, terus komited untuk meningkatkan iklim pelaburan yang mesra perniagaan dan kondusif.

Kata beliau, dasar ekonomi, perniagaan, pelaburan dan kewangan yang lebih baik akan memberi dorongan kepada sektor swasta untuk meningkatkan daya saing, pelaburan domestik dan kapasiti produktiviti. – MalaysiaGazette