Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang lelaki ditetak rakannya di Penaga, Pulau Pinang semalam.

PENAGA – Perselisahan faham antara dua rakan ketika sedang makan rambutan berakhir dengan tragedi berdarah.

Ia berlaku selepas seorang daripada mereka ditetak pada bahagian kepala di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Permatang Janggus di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 1 tengah hari membabitkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun di rumah sewa rakannya.

MalaysiaGazette difahamkan, polis menerima panggilan daripada pihak Hospital Kepala Batas memaklumkan telah menerima pesakit yang mengalami kecederaan akibat ditetak pada kepala kira-kira pukul 3.17 petang.

Kesan darah mangsa yang ditetak suspek di sebuah rumah di Jalan Sekolah, Permatang Janggus di sini.

Mangsa yang bekerja sebagai buruh pembinaan rumah itu dibawa ke hospital dengan bantuan jiran serta rakannya yang juga warga Indonesia.

Saksi kejadian dikatakan terdengar bunyi kecoh berhampiran kediamannya sebelum melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian.

Mohd Radzi.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala masih menerima rawatan di hospital namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

“Suspek yang juga warga Indonesia telah melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette