Seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang lori dalam kejadian Jalan Sungai Lembing, Kuantan hari ini

KUANTAN – Seorang remaja berusia 22 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori muatan tilam di Jalan Kuantan – Sungai Lembing hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam insiden pukul 5.45 petang itu.

Menurutnya, mangsa,  Adam Danial  Hamzan beralamat di Kampung Padang itu bekerja sebagai pembantu kedai burger  menunggang motosikal mengekori belakang lori menuju Jalan Sungai Lembing.

Pemandu lori yang membawa muatan tilam itu pula dalam perjalanan dari arah Bandar Kuantan hendak ke Kemaman.

“Kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Lembing berhadapan Restauran McDonald’s Indera Mahkota  melibatkan sebuah lori jenis Nissan dan motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori  dalam sedang menunggu lampu isyarat yang merah di lorong kedua kiri, tiba-tiba datang mangsa yang menunggang motosikal melanggar bahagian belakang lori itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian mangsa yang mengekori rapat kenderaan di hadapan dan gagal mengawal motosikalnya sehingga menyebabkan kemalangan.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan proses bedah siasat dilakukan selepas ujian calitan Covid-19.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette