Gambar hiasan

KEUNIKAN Malaysia yang mempunyai latar belakang penduduk yang datang daripada pelbagai kaum dan agama sering kali menjadi contoh yang baik terutamanya dalam mengekalkan perpaduan dan hidup dalam aman damai sejak kemerdekaan lagi. Dalam kepelbagaian tersebut, setiap kaum seperti Melayu misalnya, juga mempunyai keunikan lain seperti dialek bahasa yang berbeza di antara negeri-negeri di Malaysia seperti Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan sebagainya.

Dialek yang berasal dari negeri-negeri berbeza ini sebenarnya boleh dianggap sebagai salah satu kebanggaan kepada penduduk di negeri tersebut yang menggambarkan identiti mereka. Dalam pelbagai sudut terutamanya budaya, rata-rata mempunyai keunikan yang tersendiri seperti budu, masak lemak, pisang salai, nasi dagang, dan sebagainya. Namun, dalam keunikan kepelbagaian tersebut, tidak semua perkara yang dianggap baik dan boleh diterima oleh semua orang.

Sebagai contoh, terdapat juga perkara-perkara yang tidak baik seperti sikap kasar atau berpuak-puak misalnya dan dikatakan berasal daripada negeri-negeri tertentu. Dalam hal ini, walaupun mungkin ramai penduduk negeri tersebut tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, itu adalah suatu yang normal kerana kebiasaannya, sudah tentu tiada siapa yang suka dikaitkan dengan sesuatu yang buruk. Tetapi apa yang menjadi luar biasa adalah apabila adanya sesetengah individu daripada negeri tersebut yang seolah-olah berbangga dengan keburukan yang disebutkan.

Sebagai contoh laporan media baru-baru ini yang memaparkan tentang bagaimana seorang pemilik restoran yang berbahasa kasar dengan pelanggannya. Mungkin dalam keadaan yang biasa, salah faham seperti itu sering berlaku di mana-mana restoran sekalipun. Namun apa yang menarik perhatian adalah apabila pemilik dengan bangganya menyatakan bahawa penduduk negeri tersebut memang terkenal dengan bahasa kasarnya. Keunikan inikah yang dibanggakan?

Apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang agak memeranjatkan. Ini kerana mungkin golongan seperti ini tidak sedar bahawa tidak semua penduduk negeri yang sama bersetuju untuk merasa bangga seperti apa yang mereka rasakan. Malah, keratan video yang ditularkan di sosial media sangat jelas menunjukkan rasa angkuh dan bangga dengan kekasaran bahasanya sehingga tidak mempedulikan tentang reputasi restoran yang mungkin boleh terjejas kerana insiden tersebut.

Mungkin ini hanyalah satu insiden yang boleh dijadikan contoh kepada banyak lagi perkara yang mungkin tidak didedahkan kepada umum yang berlaku dalam masyarakat sejak dari dulu lagi. Ironinya, sifat-sifat negatif ini biasanya memang disedari oleh kumpulan komuniti itu sendiri. Persoalannya, adakah mereka pasrah dan menerima sahaja atau cuba bertindak bagi mengubah persepsi tersebut?

Budaya negatif seperti inilah yang biasanya mencemarkan keunikan sesebuah komuniti itu sendiri. Dengan perubahan zaman yang semakin moden canggih kini, penerimaan ideologi sikap buruk yang mencerminkan identiti sesebuah komuniti itu
perlu dikikis demi menjamin kesinambungan budaya yang lebih bersih dan dihormati kepada generasi akan datang dan bukan menerima bulat-bulat persepsi tersebut malah berbangga membuktikan mereka memang bersifat begitu.

Insiden seperti ini wajar dijadikan iktibar tentang perlunya masyarakat tahu apa yang perlu dibanggakan dan terus dibudayakan dan apa yang perlu diubah kerana tidak mahu mewariskan kepada generasi seterusnya. Tambahan pula, ia perlu seiring dengan perkembangan bidang pendidikan dan selari dengan kehendak agama yang menyeru ke arah kebaikan, hormat menghormati dan toleransi sesama manusia.

Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan USIM
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nilai, Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast