Bomba membantu menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di di dalam terowong tempat letak kenderaan di Persiaran KLCC, di sini, pagi tadi. Gambar ihsan: PGOKL

KUALA LUMPUR – Seorang wanita  warga asing bersama anaknya hampir menemui ajal apabila motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan di dalam terowong tempat letak kenderaan di Persiaran KLCC, di sini, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (PGOKL) berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pukul 9.53 pagi.

Sejurus selepas itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Jalan Tun Razak digegaskan ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi terdapat kemalangan motosikal membabitkan dua mangsa warganegara asing.

“Seorang mangsa wanita dewasa terpelanting masuk dalam pembahagi jalan dan tersepit. Mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.

“Manakala, seorang lagi mangsa iaitu lelaki dewasa cedera di tangan kanan. Mereka telah mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah jurucakap itu, operasi menyelamat berjalan dengan lancar dan selesai sejam selepas itu. – MalaysiaGazette