Tangkap layar buaya tembaga daripada dua klip video yang tular mengenai kebimbangan orang ramai terhadap reptilia itu yang muncul di Empangan Kampung Gangsa, Durian Tunggal, Melaka, Sabtu lalu.

MELAKA – Kemunculan seekor buaya tembaga di pintu air Sungai Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini adalah fenomena biasa yang tidak membahayakan orang ramai sekiranya mereka tidak mengganggu haiwan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka  Mohd. Firrdhaus Mahmood, kawasan di luar kolam tadahan air itu juga merupakan habitat asal reptilia itu.

“Kami mengesyaki buaya dari spesies tembaga itu berasal dari Sungai Melaka dan anak-anak sungai sekitarnya yang menjadi populasi dan habitat haiwan itu sejak sekian lama.

“Nasihat kami supaya orang ramai tidak melakukan provokasi terhadap reptilia itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kerana setakat ini kami tidak menerima laporan kacau ganggu melibatkan penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penularan dua klip video mengenai kebimbangan orang ramai terhadap reptilia itu yang muncul di Empangan Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini Sabtu lalu.

Menurut, rakaman berdurasi 13 dan 16 saat itu dipercayai dirakamkan pada sebelah malam Sabtu lalu berdasarkan tarikh dan waktu yang tertera.

“Setakat ini, kami melakukan pemantauan dan tiada kelibat buaya tembaga itu di lokasi sama kerana mungkin ketika kejadian, ia hanya melintas dan tidak mengganggu penduduk untuk ke habitatnya,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast