Wan Ridhwan (kiri) menyerahkan memorandum mohon perkenan Sultan Kelantan campur tangan atas penganiayaan kerajaan Pas terhadap penduduk Kampung Atas Paloh, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Sekumpulan anak muda dari Pergerakan Wira Putra Kelantan hari ini, menyerahkan memorandum berhubung penganiayaan kerajaan Pas negeri itu ke atas penduduk Kampung Atas Paloh mohon perkenan campur tangan Sultan Kelantan.

Memorandum itu diserahkan Ketua Wira Negeri, Wan Ridhwan Abdul Rahman kepada Pegawai Protokol Istana Kelantan, Dr. Mohamed Safarudin Ismailil kira-kira jam 10 pagi di Pejabat Sultan Kelantan, di sini.

Menurut Wan Ridhwan, memorandum itu berkaitan isu penduduk Kampung Atas Paloh, di sini, yang rumah mereka dirobohkan kerajaan negeri minggu lalu dengan bayaran pampasan RM1,000.

Katanya, pampasan itu dibayar kepada penduduk sebanyak dua kali iaitu masing-masing RM500 sebelum dan selepas kediaman dirobohkan.

“Pagi ini, barisan kepimpinan Pergerakan Wira Putra Kelantan telah hadir di Istana Balai Besar Kota Bharu. Kita serahkan memorandum ini di Pejabat Sultan Kelantan.

“Kita mohon perkenan Tuanku Sultan Muhammad V campur tangan di atas kezaliman yang telah dilakukan kerajaan Pas kepada penduduk Kampung Atas Paloh yang telah menetap di situ sejak lebih 80 tahun lalu.

“Kita berharap nasib penduduk kampung ini mendapat pembelaan sewajarnya seperti diberikan rumah baharu dan pampasan yang munasabah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Wan Ridhwan menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Sultan Muhammad V di Pejabat Sultan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, baki 16 daripada lebih 100 rumah penduduk di kampung itu dirobohkan untuk dibangunkan lebih 400 unit kondominium 15 tingkat.

Sebelum ini, pada Mei 2013, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berjanji untuk memberikan setiap keluarga sebuah unit kediaman.

Beliau juga berjanji akan menyediakan rumah transit sementara kepada penduduk di situ sepanjang tempoh pembinaan kondominium.

Berikutan itu, Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali memberi jaminan untuk terus melawan dan mempertahankan hak rakyat Kelantan daripada ditindas serta ditipu sewenang-wenangnya oleh kepimpinan kerajaan negeri itu.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memberi peringatan kepada kerajaan Pas Kelantan supaya mentadbir mengikut perintah Allah, bukan mempermainkan agama untuk kepentingan diri.

Tegas beliau, menganiaya rakyat marhaen dengan menafikan hak mereka sebagaimana berlaku kepada penduduk di Kampung Atas Paloh di sini Rabu lalu, merupakan perbuatan kejam dan zalim. – MalaysiaGazette